Sunday, October 4, 2009

PROGRAM BTN DAN HARI INI DALAM SEJARAH.

SELAMAT MENJALANI AKTIVITI-AKTIVITI DI BTN UNTUK BATCH 3 JAD.

Kepada sdra2 & sdri2 yang akan menghadiri kursus BTN pada 5 Oktober hingga 9 Oktober 2009, saya ucapkan Selamat Berjaya. Ambillah peluang menghadiri program BTN ini untuk mematangkan diri sdra-sdri terutama memperkemaskan persepsi dan jatidiri anda. Perlu diingat bahawa, agenda utama anda hendak menjadi seorang 'engineer' yang berintegriti dan dihormati kerana ilmu dan sumbangan professional anda melalui kerjaya masing-masing. Tetapi di masa yang sama, anda perlu menginsafi bahawa, manusia di sekeliling anda akan menilai anda bukan sahaja sebagai engineer, tetapi sebagai insan yang dapat menabur bakti dalam apa sahaja aktiviti kemasyarakatan terutama aktiviti-aktiviti bercorak 'community service'. Saya yakin program BTN bertujuan untuk memberikan anda semua maklumat dan pendedahan tentang bagaimana hendak membabitkan diri anda sebagai manusia yang dikelilingi oleh masyarakat setempat samada di kawasan perumahan anda atau pun di tempat kerja pada suatu hari kelak.

Sdra-sdri perlu menginsafi bahawa anda sebenarnya 'berhutang wang' dan 'budi' dengan masyarakat Malaysia di sekeliling anda kerana mereka juga 'membiayai' pengajian anda selama 5 tahun yang hampir berjumlah RM400,000 hingga RM500,000 untuk setiap pelajar JAD. Mereka (dan saya juga) adalah pembayar-pembayar cukai pendapatan, perniagaan, harta dan lain-lain kepada Kerajaan Malaysia.

Banyak aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang bakal boleh anda sumbangkan apabila telah bekerja pada masa hadapan. Boleh babitkan diri di kawasan perumahan sebagai AJK penduduk, dalam PIBG sekolah, AJK Masjid dan Surau, AJK yang aktif dalam badan-badan sukarela di peringkat daerah, negeri dan negara. Saya juga sempat memainkan peranan-peranan sukarela sepanjang karier saya bekerja di Malaysia. Dan yang paling meresap ke dalam jiwa saya ialah semasa saya menjadi Pengerusi Surau Al-Hijrah, Kota Kemuning, Shah Alam pada tahun 2004-2005. Saat yang paling manis sekali apabila Surau Al-Hijrah Kota Kemuning menerima kelulusan (permit) dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk mendirikan Solat Jumaat buat pertama kalinya pada 3 Disember 2004 (hampir 5 tahun yang lalu). Ini yang saya maksudkan 'Hari Ini Dalam Sejarah.' Lihat foto di bawah.


Seperti yang saya telah nyatakan beberapa kali sebelum ini, kehebatan akademik sahaja belum mencukupi untuk anda menjadi manusia yang berguna di atas mukabumi ini. Sdra-sdri mesti melengkapkan diri dengan kemahiran bersosial, cara bercakap yang 'confident', keperibadian yang elok dan baik, ikhlas dalam bekerja sebab penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan bukan satu medan untuk 'membuat duit'. Semua ini adalah kerja sukarela dan perlu ikhlas. Balasannya kita serahkan kepada yang Maha Esa.

Dan menghadiri kursus BTN diharapkan dapat meningkatkan pengalaman dan ilmu dalam usaha menjadi insan yang berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

Sekian.

Jumpa lagi.

Prof. Shukor.
Kota Kemuning, Shah Alam.



No comments:

Post a Comment